KUALA LUMPUR : Tarik semula keputusan pilihan raya kampus (PRK) Universiti Malaya, dan adakan semula pilihan raya tersebut, demikian kata Adun Kampung Tunku Lau Weng San ketika mengulas perkembangan terbaru di kampus tersebut.
Beliau yang juga bekas pelajar di UM, membidas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Khaled Nordin mengenai pilihan raya UM baru-baru ini.
Keputusan pilihan raya UM baru-baru terpaksa digantung berikutan bantahan keras daripada mahasiswa UM ke atas pelaksanaan e-undi yang didakwa mereka sebagai tidak telus.
"Saya menyeru Khaled Nordin agar tidak memandang remeh berhubung bantahan mahasiswa ini kerana dalam mana-mana pilihan raya, ketelusan adalah antara perkara terpenting dalam menentukan kewibawaan keputusan pilihan raya itu.
"Dalam isu ini, kita difahamkan bahawa e-undi di pilihan raya kampus UM adalah suatu cara pengundian yang tidak telus," katanya.
Pertama sekali, tambah beliau, undian melalui sistem e-undi bukan lagi undi rahsia kerana mahasiswa perlu 'log-in' ke dalam sistem e-undi melalui nombor matriks mereka, sekali gus hal ini menyebabkan pentadbir universiti boleh mengetahui undi pelajar itu.
Kedua, tambah Lau, pemantau pilihan raya dan ejen pengiraan undi calon tidak dapat memantau proses pengiraan undi kerana undi yang dibuang tidak akan dikira dan ia hanya akan dipaparkan secara elektronik dan ini mengurangkan tahap ketelusan e-undi.
Ketiga, tambah beliau lagi, proses pengiraan undi semula tidak dapat dijalankan dengan pelaksanaan e-undi ini apabila berlaku perbezaan undi yang kecil.
"Kesemua kekurangan teknikal daripada sistem e-undi ini adalah tuduhan-tuduhan yang sah dan tidak boleh dipandang remeh.
"Saya faham perasaan mahasiswa yang berdemonstrasi kerana selama ini pihak pentadbir UM dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah memandang serius terhadap rintihan-rintihan mereka ini," kata beliau.
Sebagai bekas pelajar UM, kata Lau, beliau menyeru Khaled menarik balik keputusan pilihan raya UM ini sekali gus mengadakan semula pilihan raya yang adil dan telus seperti biasa yang tidak pernah dipertikaikan ketelusannya.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini