KUALA LUMPUR : Jika sebelum ini Pengerusi DAP Sabah, Dr. Hiew King Chew menganggap idea Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan di Sabah, lain pula bagi DAP di Sarawak.
Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Chiew Chiu Sing berkata, idea itu bukan sahaja baik tetapi mampu untuk dilaksanakan di negeri yang terbesar di Malaysia itu kerana memilki pelbagai kaum dan suku kaum.
Menurutnya, kepelbagaian yang wujud di Sarawak itu pada hakikatnya merupakan keunikan tersendiri dan membantu menerapkan Idea ‘Middle Malaysia’.
“Secara peribadi, apa yang faham, Middle Malaysia merupakan satu ideologi yang mengambil kira pandangan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka sebelum sesebuah pemerintahan itu memutuskan sesuatu dasar untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya kepada erapakatan.com di sini hari ini.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang semasa persidangan nasional ke-125 DAP di Ipoh, Perak mengemukakan idea 'Middle Malaysia' tetapi majoriti pembahas yang hadir pada 17 Januari lalu, kurang memberi respon berhubung idea itu.
Guan Eng antara lain berkata, tidak seperti BN Malaysia, dalam 'Middle Malaysia' kita adalah adik-beradik, ibu bapa, anak lelaki dan anak perempuan Malaysia.
Kongsi berita ini