Kezuhudan Mahmood Zuhdi

Sunday, 28 February 2010 1:22 PM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Namanya Prof Datuk Dr Mahmoud Zuhdi, beliau dinamakan sebagai penerima Anugerah Perdana pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010 bagi tahun ini.

Suatu gelaran yang cukup  berprestij dan membanggakan bagi mana-mana insan di negara ini.

Namun, bagi tokoh ini, beliau tetap merendah diri dan merasa ‘malu’ dengan gelaran itu yang disifatkannya ada lagi insan lain yang lebih layak.

“Syukur tetap syukur, tapi saya bimbang tidak dapat membawa gelaran ini (Anugerah Perdana Maulidur Rasul) dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bagaimanapun menganggap dirinya belum layak menerima pengiktirafan seumpama itu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan anugerah diberikan, namun 'malu' kerana rasa diri saya tidak layak untuk diberikan pengiktirafan seperti ini.

“Saya menjangkakan orang lain lebih berpengalaman dan berwibawa menerima anugerah ini, tetapi mungkin rezeki menyebelahi saya dan menjadi satu kewajipan menerima apa yang diberikan,” tegas beliau.

Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz yang juga adik kepada ulama terkenal di Asia Tenggara, Tuan Guru Datuk Dr. Harun Din.

Lain-lain penerima anugerah termasuklah, Presiden Malaysian Relief Agency, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; Pengarah Urusan Faza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Tamm Swee Lian dan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof Dr Yaakob Che Man.

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca