“Keadaan tegang ... Kami masih tunggu keputusan NC!” - Pro M UM

Friday, 29 January 2010 12:09 PM Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : "Keadaan kini tegang ... Kami masih tunggu keputusan NC!" kata Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya (Pro M UM) Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi erapakatan.com di sini hari ini.

Kumpulan itu masih menunggu jawapan Naib Canselor dalam perhimpunan di kampus itu sejak 11 pagi ini bagi menuntut penjelasan pentadbiran kampus untuk mengadakan PRK semula ekoran sistem e-undi yang bermasalah sejak kelmarin.

Mengikut rancangan yang diputuskan semalam, kumpulan Pro M UM itu masih menunggu laporan lanjut ekoran bantahan mereka ke atas keputusan yang telah diumumkan Naib Canselor sejak jam 7 petang kelmarin.

Dalam keputusan semalam, pro-Mahasiswa (pro-M) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah dikalahkan oleh Pro Aspirasi melalui proses e-undi tersebut.

Pro Aspirasi Umno di UKM memenangi 19 kerusi menewaskan Pro M yang mendapat 15 kerusi dan Bebas 1 kerusi daripada 35 kerusi yang dipertandingkan.

Pro Aspirasi Umno di UTM menang 28 kerusi manakala pro-M (18) dengan Bebas (5) daripada 51 kerusi dipertandingkan.

Manakala di USM, Pro Aspirasi Umno menang besar di kampus utama Minden dengan 31 kerusi, Bebas (2) dan Pro M gagal mendapat sebarang kerusi. Jumlah kerusi secara keseluruhan adalah 39.

Semalam, Pro M UM mendakwa, kumpulan itu membantah hal sistem e-undi yang tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga menjejaskan keputusan pilihan raya kampus sekali gus meragukan mahasiswa-mahasiswa di kampus berkenaan.

"Kami tak tumpukan hal keputusan yang memihak kepada Pro Aspirasi. Kami bantah e-undi yang banyak meragukan sepanjang tempoh pembuangan undi sepanjang hari ini," kata Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi erapakatan.com.

Sejak semalam, kumpulan mahasiswa itu berarak di depan pejabat naib canselor universiti berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sistem pilihan raya berdasarkan teknologi e-undi yang didakwa lumpuh dalam tempoh pilihan raya tersebut dilaksanakan.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca