KUALA LUMPUR : Sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ke-36 semalam harus diangkat dan diraikan bersama dengan keberanian mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang beriltizam dalam memperjuangkan usaha ke arah pembentukan sistem pilihan raya yang adil dan telus.
Demikian penegasan oleh Puteri Reformasi Malaysia, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan media kepada erapakatan.com.
Menurutnya, penahanan sembilan mahasiswa UM di sekitar kawasan Jalan Raja Laut, Wilayah Persekutuan kerana berhimpun dan secara aman baru-baru ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan hak asasi manusia.
"Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara saya yakin dan percaya bahawa mahasiswa ini harus diberi peluang dan ruang bagi menyuburkan demokrasi dan hak asasi di kampus ke arah Malaysia yang lebih bebas dan harmoni.
"Saya turut berasa kesal dengan penyelewengan kuasa dan penggunaan e-undi yang berlaku dalam pilihan raya kampus baru-baru ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pentadbir universiti agar lebih menghormati hak mahasiswa untuk berpolitik melalui wadah demokratik di kampus dengan bebas dan saksama.
Sementara itu, Izzah yang juga Ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai memberitahu, sejumlah 1.5 juta rakyat di kawasan Wilayah Persekutuan wajar diberi peluang untuk menentukan sendiri pemimpin mereka.
"Rakyat Malaysia yang tinggal di luar kawasan WP berpeluang untuk mengundi wakil kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dan ia tidak dinikmati oleh 1.5 juta rakyat di kawasan WP.
"Ini juga bermakna, RM 2.12 bilion wang peruntukan DBKL, tidak dipantau oleh mana-mana wakil rakyat di peringkat WP, sekali gus ia bercanggah dengan prinsip demokrasi yang menggalakkan penyertaan rakyat sebagai tonggak kepada sesebuah pentadbiran yang telus dan adil," kata tokoh muda itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga WP diberikan ruang dan kuasa untuk menentukan dasar dan halatuju pemtadbiran WP melalui dialog dan rundingan awam yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini