KUALA LUMPUR : Benarkah Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) mendapat sambutan luarbiasa kerana kekuatan mutunya atau publisiti yang meluas berdasarkan paparan iklan mengenai tayangannya?
Menyentuh hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif Epic Pictures, Patrick Ewald berkata, sambutan luar biasa ke atas filem ini cuma berdasarkan poster dan juga klip video adegan aksi berdurasi lapan minit yang dipetik menerusi filem tersebut.
"Ia (klip video) menonjolkan kualiti penerbitan lagak ngeri, aksi CGI dan set bertaraf dunia," kata beliau ketika mengulas perkembangan terbaru mengenai HMM.
Untuk rekod, filem epik purba Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) berjaya mencatat jutaan ringgit menerusi jualan di European Film Market (EFM) yang berlangsung di Berlin antara 11 sehingga 21 Februari baru-baru ini.
HMM yang menelan perbelanjaan RM8 juta ini terjual di United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia termasuk 22 buah negara timur tengah sekali gus menjadikannya sebagai 'The Malay Chronicles-Bloodlines' filem tempatan pertama yang mendapat edaran secara meluas di peringkat antarabangsa.
Pengarah filem tersebut Yusry Abdul Halim sebaliknya merendah diri dengan pencapaian mendadak itu.
"Kejayaan ini, bukan miliknya seorang sebaliknya kejayaan para karyawan, barisan pelakon, krew produksi dan kakitangan KRU Studios," kata Yusry.
Patrick berkata, HMM juga dijadualkan ditayang di Festival Filem Antarabangsa Cannes pada bulan Mei dan American Film Market pada November depan.
"Diharapkan, menerusi kejayaan ini, lebih banyak lagi penjualan filem tempatan di peringkat antarabangsa akan dicetuskan," katanya.
Antara lain, filem HMM itu turut menampilkan barisan pelakon dalam dan luar negara dan sekali gus ia dimantapkan dengan koreografi seni mempertahankan diri yang diterbangkan khas dari Hong Kong.
HMM dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini dan akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini