WASHINGTON : Rangkaian televisyen Amerika Syarikat baru-baru ini melaporkan, bahawa mantan Naib Presiden Amerika Syarikat, Dick Cheney, 69, berkemungkinan menjalani ujian angiogram untuk membolehkan doktor melihat masalah saluran koronari ahli politik kontroversi daripada Parti Republikan itu.
Laporan AFP menyebut, daripada ujian itu, laporan itu menambah, doktor berkemungkinan akan mengambil keputusan untuk memberi rawatan tambahan.
Cheney yang memang sejak lama sebelum ini menghidap masalah jantung, dimasukkan ke hospital semalam selepas mengadu sakit dada.
Jurucakap pejabat beliau berkata, Cheney kini berehat di Hospital Universiti George Washington dan doktor sedang menilai kesihatan beliau.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat beliau itu lagi, doktor bagaimanapun memberitahu yang bekas Naib Presiden itu kini berada dalam keadaan stabil dan kemungkinan akan diberi rawatan tambahan lagi.
Untuk rekod, Cheney mengalami serangan jantung sebanyak empat kali sejak 1978 dan menggunakan 'pacemaker' yang dipasang di dadanya sejak 2001.
Beliau dijadualkan akan bertemu bekas Presiden George W Bush bersama lain-lain kakitangan ketika pemerintahan Bush di Washington Jumaat ini buat pertama kalinya sejak mereka keluar dari pejabat Presiden pada Januari 2009.
Ketika serangan jantung ketiga, Cheney menjalani pembedahan untuk membuat empat pintasan. Dan serangan keempat ialah pada 2000 apabila beliau dan Bush dipilih untuk menerajui Rumah Putih.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini