17 Februari, tarikh permohonan bantahan qazaf Anwar

Wednesday, 10 February 2010 9:39 AM Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Mahkamah petang kelmarin menetapkan 17 Februari sebagai tarikh sebutan terhadap permohonan bantahan qazaf yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bersama dua lagi responden, kata peguam yang mewakili mereka, Zainul Rijal Abu Bakar.

Jamil Khir, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali memfailkan bantahan awal bagi membatalkan permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tindakan memfailkan permohonan bantahan awal itu dilakukan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, petang kelmarin melalui Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir.

Peguam-peguam mereka Zainul Rijal Abu Bakar, Roslizam Rahim dan Mohd Firdaus Mohd Arifin hadir di mahkamah bagi memfailkan permohonan tersebut.

Zainul Rijal berkata, pihaknya akan menyerahkan salinan bantahan awal itu kepada peguam syarie Anwar, Kamar Aniah Kamaruzaman, hari ini.

Pada 7 Januari lalu, Anwar memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah untuk mengarahkan Shamsuddin, selaku Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, supaya mendakwa bekas Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf.

Dalam permohonan itu juga, Anwar turut menamakan Shamsuddin, Jamil Khir dan Che Mat sebagai responden.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca