Kes ugutan pelajar di Facebook dibicara 1 November ini

Friday, 05 March 2010 8:26 AM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Pepatah ada mengatakan ikut hati mati, ikut nafsu lesu dan ikut rasa binasa.

Ungkapan itu mungkin sesuai untuk menggambarkan kesan komen berbentuk ugutan oleh seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, berhubung isu kalimah Allah dalam laman sosial Facebook awal tahun ini apabila kesnya akan mula dibicarakan bermula 1 November depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas peguam bela, Mohd. Radzlan Jalaluddin yang mewakili Mohamad Tasyrif mengesahkan pihaknya sudah menerima semua dokumen daripada pihak pendakwaan.

Pada 18 Januari lalu, Mohamad Tasyrif, yang juga pelajar tahun pertama jurusan Diploma Perfileman di Aswara, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Dia didakwa menghantar komen: ''Ke nak aku baling bom petrol di sana plak? Harga boleh runding...'' di laman web rangkaian sosial interaktif itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya melalui akaun individu bernama Shahrul Maizam kira-kira pukul 10 pagi, 10 Januari lalu di sebuah rumah di B-10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Mohamad Tasyrif adalah individu pertama yang didakwa berkaitan isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Gereja Katolik.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca

 

Polls