KUALA LUMPUR : Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut (SMKS) perlu dikenakan tindakan tatatertib kerana membenarkan Umno mendaftarkan para pelajar di sekolah itu sebagai ahli Puteri Umno, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) Herman Samsudeen.
"Kami persoalkan kewajaran tindakan Umno Bahagian Segambut yang membuat kempen pendaftaran Puteri Umno kepada para pelajar di sini," kata beliau dalam suatu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, Ekspo Pendidikan Jalinan Mesra 1Malaysia yang dianjurkan, sebenarnya hanyalah gimik pihak sekolah dan Umno Bahagian untuk mengambil kesempatan ke atas pelajar-pelajar sekolah tersebut.
"Kami kesal dengan kecurangan sekolah yang bersekongkol dengan Umno untuk mempolitikan pelajar sekolah. Jika kementerian enggan bertindak, kami mahu kerajaan memansuhkan larangan ke atas semua kakitangan awam, guru dan pelajar yang selama ini dilarang berpolitik.
"Sewajarnya, hak yang sama diberikan jika kerajaan benar-benar ikhlas dalam dasar yang direka mereka," tambah beliau.
Sebelum ini, tambah Herman, ahli Parlimen Segambut, Yang Berhormat Lim Lip Eng pernah dihalang ketika mengedarkan topeng muka H1N1 kepada pelajar.
"Begitu juga yang berlaku kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali yang dihalang menyampai Anugerah Kecemerlangan Pelajar di dalam kawasan Sekolah hingga terpaksa menyewa Hostel untuk program berkenaan," kata Herman.
Tambah beliau, Kuala Lumpur kini dikuasai Pakatan yang memiliki 10 Kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional yang hanya ada 1 Kerusi.
"Tetapi, oleh kerana di Kuala Lumpur ini tiada Dewan Undangan Negeri maka, Umno dan BN yang menguasai Persekutuan mempergunakan sepenuhnya agensi kerajaan yang ada termasuk sekolah untuk kepentingan mereka dan melarang agensi berkenaan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pakatan yang dipilih rakyat.
"Lihat sahaja Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Siapa dia di Parlimen? Beliau hanyalah seorang senator yang dilantik daripada pintu belakang pejabat Perdana Menteri, bukan wakil yang dipilih rakyat.
"Kami bertegas mendesak kerajaan memberi layanan yang adil kepada semua wakil rakyat dan tidak memperkudakan sekolah dan agensi kerajaan yang lain untuk meraikan 'wakil Rakyat Haram' di Kuala Lumpur," kata Herman Samsudeen.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini