Perkembangan ilmu retorik amat perlahan di alam Melayu

Thursday, 21 January 2010 3:23 PM Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Perkembangan ilmu retorik di alam Melayu amat perlahan dan mendukacitakan, kata siswazah peringkat falsafah Abu Hassan Abdul menerusi kajiannya berkaitan strategi retorik yang diluluskan oleh Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

"Walaupun ilmu retorik sudah ribuan tahun berkembang di Barat dan Timur Tengah, tetapi perkembangan ilmu ini di alam Melayu khususnya di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia amat perlahan dan mendukacitakan," tulisan beliau dipetik.

Abu Hassan berkata demikian menerusi kajian tesis disertasi bertajuk Strategi Retorik Dalam Autobiografi Melayu: Perbandingan Karya Hamka Dengan Shahnon Ahmad.

Tambah beliau, seorang sarjana Indonesia, Jalaluddin Rakhmat berkata, ilmu balaghah menjadi disiplin ilmu yang menduduki status yang mulia dalam peradaban Islam. Kaum Muslimin menggunakan balaghah sebagai pengganti retorika.

"Tetapi, warisan retorika Yunani, yang dicampakkan di Eropah abad pertengahan, dikaji dengan tekun oleh para ahli balaghah. Sayang, sangat kurang sekali studi berkenaan dengan kontribusi balaghah pada retorika moden.

"Balaghah, berserta ma'ani dan bayan masih tersembunyi di pesantran-pesantran dan lembaga-lembaga pendidikan Islam tradisional," tulisan Jalaluddin Rakhmat dipetik melalui kajian Abu Hassan itu.

Kelesuan perkembangan disiplin retorik, tambah pengkaji retorik perbandingan antara Hamka dan Shahnon itu, adalah berpunca daripada faktor dalaman dan luaran.

"Seorang sarjana German, Arndt Graf dalam Bibliografi Retorik Melayu menjelaskan bahawa fenomena ini adalah kesan penjajahan Eropah. Menurut Graf, pengaruh bangsa-bangsa asing itu tidak hanya terasa sampai sekarang dalam bidang politik dan ekonomi, tetapi juga dalam bidang yang paling inti sebuah budaya iaitu dalam konsep-konsep tentang warisan bahasa, sastera dan budaya.

"Dengan kata lain, dunia Melayu yang menjadi korban penjajahan Eropah hampir-hampir melupakan disiplin retorik sebagai khazanah penting dalam persuratan Melayu sehingga istilah 'retorik' itu sendiri hanya dikenali dan digunakan secara meluas selepas era 90-an khususnya dalam media berbahasa Melayu," katanya.

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca

 

Polls