KUALA LUMPUR : Genap seminggu selepas tempoh perkabungan kematian demokrasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berlangsung, kini kumpulan Pro Mahasiswa akan berarak beramai-ramai dari sudut pidato menuju ke Canselori UKM sekitar jam 2 petang ini.
"Sidang media akan bermula selepas perhimpunan dan perarakan pelajar ke Canselori yang dijadualkan bermula 2 petang ini," demikian kata Pengerusi Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Muhammad Hilman Idham kepada erapakatan.com di sini, hari ini.
Tambah beliau, tujuan perhimpunan dan perarakan itu diadakan adalah sebagai lambang kepada hari kemuncak tempoh perkabungan pelajar sempena kematian amalan demokrasi kampus.
"Selain itu," kata Muhammad Hilman, "perhimpunan itu diadakan bertujuan mendesak sehingga diwujudkan dialog terbuka bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar."
Untuk rekod, kampus UKM pernah dicerobohi pasukan simpanan persekutuan (FRU) pada Jumaat, 29 Januari lalu, setelah pelajar kampus ini berhimpun beramai-ramai selepas menunaikan solat Jumaat.
Kejadian itu menyaksikan dua pelajar; Muhammad Huzaifah Jusof Khadidi dan Muhd Zarimi Mohamad @ Abdullah ditahan berikutan bantahan mereka berhubung keputusan pilihan raya di dua buah fakulti sebelum ini.
Kedua-dua mereka ditahan ketika menyertai perhimpunan di masjid tersebut sebagai langkah bantahan terhadap pelaksanaan sistem pilihan raya kampus yang tidak telus, ditambah dengan keraguan warga kampus terhadap sistem e-undi itu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka akhirnya diminta memberikan keterangan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang pada hari yang sama ini, berikutan demonstrasi tersebut.
Kejadian polis menceroboh kampus turut berlaku di Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya pada Jumaat, 5 Februari lalu ketika siswa di kampus berkenaan mahu mengirim replika patung demokrasi di pejabat TNC HEP.
Pergaduhan di tepi tangga, menghala pejabat TNC HEP UM itu membabitkan kumpulan Pro Mahasiswa UM, para pengawal keselamatan dan dua polis. Insiden pergelutan tersebut berlangsung hampir sejam setengah bermula jam 3:30 petang.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini