KAHERAH: Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengucapkan takziah terhadap pemergian Syeikhul Azhar, Dr Mohamad Syed Tantawi pagi kelmarin di bandar Riyadh, Saudi.
Dalam suatu kenyataan di sini, Presiden PMRAM Abdul Mu'izz Muhammad berkata, pihaknya merakamkan rasa sedih dengan pemergian tokoh tersebut.
"Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," katanya selaku pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa PMRAM yang berpusat di Universiti Al-Azhar itu.
Tantawi, 82, dilaporkan meninggal dunia kerana berdepan dengan masalah serangan sakit jantung, semasa melakukan lawatan ke Arab Saudi.
Hal kematian Tantawi di ibu negara Saudi, Riyadh itu dilaporkan oleh stesen televisyen Al Jazeera bersumberkan petikan laporan wartawannya di Saudi.
Al-Azhar, antara pusat pengajian Sunah yang terkemuka di dunia Islam, yang mana ia mengendalikan sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain di seluruh Mesir.
Tantawi memasuki Institut Agama Iskandariah pada 1944, dan menjadi ahli fakulti Ausol Aldeen pada 1968. Pada 1972 beliau menjadi ahli fakulti Pengajian Islam dan Arab di Universiti Islam, Libya.
Pada 1986, Tantawi dilantik sebagai Mufti Besar Mesir. Beliau memegang jawatan itu hampir 10 tahun sehingga dia dilantik sebagai Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Sheikhul Azhar di Universiti Al-Azhar oleh Presiden Mesir Hosni Mubarak pada 27 Mac 1996.
Pelantikannya sebagai Syeikhul Azhar oleh Hosni Mubarak ditentang Al-Azhar
Bagaimanapun, pelantikan beliau ke jawatan Syeikhul Azhar oleh Hosni Mubarak itu telah menimbulkan kekecohan kerana pelantikan Syeikhul Azhar itu sepatutnya diputuskan oleh suatu majlis yang dibentuk sekali gus disepakati oleh golongan ulamak-ulamak Al-Azhar sebelum ini.
Pelantikan Tantawi ke jawatan tersebut adalah suatu langkah yang memecah adat dan tradisi universiti tersebut sebelum ini.
Dalam bidang pendidikan, Tantawi telah berjaya menyelesaikan 7,000 halaman kitab tafsir berjudul Al-Tafsir Al-Waset. Tafsir ini mengambil masa lebih 10 tahun untuk menyelesaikannya. Beliau juga menulis tesis disertasi berhubung Bani Israel dan Muamalat Al-Bank.
Tantawi mengepalai solat jenazah Yasser Arafat pada 2004, sambil berkata, "Arafat telah melaksanakan tugasnya sebagai pembela nasib rakyat Palestinian, dengan penuh keberanian dan kejujuran."
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini