KUALA LUMPUR : Kita menolak segala kepercayaan dan 'teori' salah yang masih diperjuangkan segelintir pihak dan orang perseorangan yang menyatakan orang yang tidak mempelajari apa-apa ilmu dalam bahasa Inggeris itu, akan menjadi bodoh, demikian menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hassan Ahmad.
Kata beliau GMP dalam mengisi sambutan ulangtahun kelahirannya pada 7 Mac depan, akan menyusun ceramah dan forum bagi menjelaskan hal tersebut yang menurutnya, masih belum selesai.
"Mereka malah berkata, 'orang yang tidak tahu membilang dalam bahasa Inggeris, orang itu bodoh'. Anehnya, orang yang berkata demikian itu tidak pernah mengajar matematik dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda masing-masing, baik di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, apatah lagi di peringkat pengajian tinggi.
"Kita tidak mahu pandangan dan kepercayaan yang salah itu atau yang hanya bersifat peribadi mempengaruhi pihak pembuat dasar pelajaran di negara ini, sama sekali. GMP akan mengundang mereka untuk bersama-sama berbincang dalam majlis itu nanti," kata beliau.
Menerusi acara anjuran GMP Mac depan, Dr Hassan menegaskan bahawa majlis itu adalah majlis ilmu, bukan majlis politik atau majlis emosi sekali gus menolak sikap fanatik bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan.
"Acara itu disusun bertujuan memperkukuh dasar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan berdasarkan ilmu yang benar, tidak berdasarkan kejahilan," katanya.
Majlis tersebut, menurut Dr Hassan, akan diisi dengan beberapa ceramah dan forum tentang dasar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan di peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, di samping penggunaan bahasa ibunda dalam mata pelajaran yang sama di sekolah jenis kebangsaan.
Dalam perkembangan terbaru, penggiat badan GMP itu telah membuat beberapa rumusan, hasil daripada perbincangan mereka dalam suatu mesyuarat yang diadakan pada 3 Februari lalu.
Antaranya, berhubung komitmen kerajaan untuk benar-benar mengembalikan dasar penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dan di peringkat pengajian sebagaimana yang telah dan sedang terus dilaksanakan sebelum 2003 dan menurut peruntukan yang termaktub dalam Akta Pendidikan (Pelajaran) 1996.
"Kita turut menyentuh hal penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang, tidak hanya dalam bidang sains dan matematik, di Institusi Pengajian Tinggi Awam.
"Pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan sebagai salah satu kursus untuk semua pelajar, termasuk pelajar asing, di Institut Pengajian Tinggi Swasta, seperti yang diamalkan di negara-negara maju di Barat dan di Asia, iaitu yang mewajibkan pelajar asing mengetahui bahasa kebangsaan negara berkenaan sama ada sebagai syarat kemasukan di IPT di negara masing-masing atau sebagai kursus biasa," kata beliau.
Antara lain yang turut disentuh, tambah Dr Hassan, adalah hal peningkatan kaedah, mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris di sekolah termasuklah dasar untuk tidak menjadikan bahasa Inggeris (bahasa asing) sebagai syarat untuk lulus di dalam peperiksaan di sekolah kebangsaan.
"Jika syarat ini dijadikan dasar dalam sistem pelajaran kebangsaan negara ini, kami khuatir akan timbul banyak masalah lain lagi, antaranya kemungkinan ramai pelajar akan gagal dalam peperiksaan mereka kerana lemah dalam bahasa Inggeris mereka, walaupun mereka mendapat 10 'A' atau 15 'A' dalam semua mata pelajaran yang diajar dalam bahasa kebangsaan.
"Ini serupalah dengan dasar penjajahan bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran negeri ini sebelum kemerdekaan. Kita berpendapat, lebih baik masalah kelemahan bahasa Inggeris itu diselesaikan melalui cara lain. Itulah antara beberapa perkara yang akan dibincangkan dalam majlis GMP yang dicadangkan itu pada 7 Mac tahun ini," tambah beliau.
Tambah beliau acara itu disusun bertujuan menimbulkan hal-hal yang benar tentang peranan dan nilai kognitif dan budaya bahasa kebangsaan sebagai bahasa pendidikan rakyat Malaysia, bukan rakyat di negara lain.
Pada 7 Mac depan, genap setahun ulangtahun GMP melancarkan perarakan menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, bagi membantah dasar PPSMI dalam sistem pelajaran kebangsaan negara.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini