KUALA LUMPUR : "Keputusan yang bakal ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan menentukan sama ada Perak berada di bawah sistem beraja mutlak atau sistem raja berperlembagaan," kata Ahli Parlimen Taiping, Datuk Nga Kor Ming.
Menurut Nga, keputusan mahkamah tinggi yang telah memutuskan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah keputusan yang membuktikan Perak adalah pengamal sistem Raja Berperlembagaan.
"Ini disebabkan keputusan tersebut diputuskan tanpa dipengaruhi pihak lain setelah melalui proses penghujahan serta fakta yang panjang lebar.
"Sebaliknya sekiranya keputusan tersebut berpihak kepada Zambry akan memberikan persepsi yang menjurus kepada Perak pengamal sistem beraja mutlak disebabkan pelantikan Menteri Besar BN, Zambry Abdul Kadir tidak diputuskan melalui sidang Dun yang sah ketika itu," kata beliau.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan yang mana Raja merupakan sebuah institusi eksekutif yang termaktub dalam perlembagaan.
"Selain kuasa raja atau sultan terdapat juga pihak lain iaitu bidang kuasa Pemerintah (eksekutif), Perundangan (legislatif), yang membabitkan bidang kuasa Dun dan Parlimen serta ketiganya bidang kuasa Kehakiman.
"Masing-masing mempunyai kuasa tersendiri. Keputusan berhubung melantik Menteri Besar dan hal ehwal Dun berada di bawah kuasa Speaker yang kemudiannya dibawa kepada kuasa Eksekkutif untuk mengesahkannya.
"Perlembagaan juga tidak mencatatkan berhubung kuasa Raja memecat mana-mana Menteri Besar kerana ia terletak di bawah kuasa Speaker Dun. Dalam kata lain, Raja tidak diberi peruntukan untuk memecat mana-mana Menteri Besar tetapi kuasa tersebut ada pada Speaker Dun," jelas beliau yang juga seorang peguam.
Menyentuh krisis perlembagaan di Perak, Nga berkata institusi perundangan di negeri itu telah musnah.
"Perak mencatat sejarahnya tersendiri berhubung runtuhnya sistem raja berperlembagaan yang telah diamalkan lebih 50 tahun disebabkan Umno-BN tidak dapat menerima hakikat kuasa rakyat yang telah menolak mereka.
"Pemimpin-pemimpin Umno-BN juga telah mengheret pelbagai institusi lain sehingga berlakunya pelanggaran doktrin pengasingan kuasa yang sudah tidak dapat diselesaikan lagi melalui kaedah perundangan selain diadakan pilihan raya bagi membentuk kerajaan yang baru," tambah beliau.
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini