Lebih 2/3 setuju PRM bergabung dalam PKR - Syed Hussin Ali

Monday, 08 February 2010 9:00 AM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Mantan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali berkata, bahawa lebih dua pertiga ahli bersama pimpinan parti itu bersetuju bergabung dengan Parti keADILan Nasional seterusnya membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2002 melalui persetujuan kongres dan mesyuarat agung kedua-dua parti tersebut.

Menurutnya, PRM juga bersetuju untuk membubarkan parti dan selepas itu wakil-wakil daripada kedua-dua parti tersebut telah dibentuk, tetapi pendaftaran PKR telah dilengah-lengahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Jadi, kami mengambil keputusan mahu membawa perkara ini ke mahkamah dan akhirnya Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membuat keputusan yang memihak kepada pendaftaran parti.

"Maka, pada 3 Ogos, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilancarkan dengan rasminya," katanya dalam suatu kenyataan kepada erapakatan.com.

Syed Husin Ali turut menjelaskan, bahawa pihak ROS 'kelihatan liat' untuk menerima keputusan majoriti lebih dua pertiga yang dibuat oleh kongres PRM malah mereka telah membenarkan sekumpulan kecil (ahli dan pemimpin) serpihan untuk meneruskan PRM.

"Sebenarnya, beberapa orang pemimpin serpihan parti tersebut telah pun menyertai pimpinan peralihan Parti Keadilan Rakyat. Mereka keluar apabila diberi peluang oleh ROS. 

"Itulah sebabnya, sepuluh orang bekas pemimpin PRM asal, termasuk saya, mencabar dalam mahkamah tindakan ROS itu. Kami tidak mengiktiraf 'PRM' baru ini kerana ia bertentangan dengan keputusan kongres PRM.

"Keputusan mahkamah tidak memihak kepada kami. Kumpulan serpihan kecil itu meneruskan parti. Namun mereka tidak pernah dapat menarik lebih daripada 50 orang untuk menghadiri 'kongres' tahunan mereka?" kata beliau yang kini merupakan Timbalan Presiden PKR.

Mengulas lanjut berhubung hal tersebut, beliau berkata, penyertaan seorang lagi mantan Presiden PRM, Hassan Karim beberapa bulan lalu merupakan isyarat jelas bahawa Kongres PRM telah pun menyetujui percantuman kedua-dua parti tersebut.

"Pimpinan peralihan PKR bersetuju melantik saya sebagai Timbalan Presiden dan dua kongres pemilihan PKR (yang diadakan tiga tahun sekali) memperkukuh kedudukan saya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mencadangkan supaya mereka yang mempersoal kedudukannya sebagai anggota dan Timbalan Presiden PKR menulis surat secara rasmi kepada PKR berhubung hal ini.

"Lebih baik lagi, jika mempunyai apa-apa sokongan, mereka boleh mengemukakan resolusi dalam kongres PKR akan datang agar menggantung keanggotaan saya, seperti salah seorang daripada mereka yang mahu hal itu berlaku," katanya yang sebelum ini enggan mengulas isu tersebut.

Terdahulu, Ahli Parlimen (MP) Wangsa Maju, Wee Choo Keong mencadangkan supaya bekas pemimpin PRM itu diberi surat tunjuk sebab kenapa mereka tidak membubarkan parti itu seperti sepatutnya.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca