Ketua kampung di Sarawak terancam ugutan wakil rakyat BN!

Monday, 08 February 2010 11:00 AM Oleh Masdar Wahid (.(JavaScript must be enabled to view this email address))

KUALA LUMPUR : Ketua kampung harus meletakkan jawatan masing-masing sekiranya mereka kekal menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya akan datang.

Itu antara ugutan terbaru yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu, William Nyalau anak Badak daripada BN di Sarawak terhadap sekumpulan ketua kampung atau juga lebih dikenali sebagai Tuai Rumah dalam suatu majlis pertemuan baru-baru ini.   

MP dari Sarawak itu, turut memberi amaran keras kepada ketua kampung agar tidak mengajak anak-anak buah mereka menentang BN, selain ancaman untuk menarik balik sijil pelantikan mereka sebagai ketua kampung.

"Kerajaan juga berhak menarik balik sijil perlantikan Tuai Rumah atau Ketua Kampung milik individu yang didapati bertanggungjawab menentang BN menjelang pilihan raya negeri ini.

"Mereka yang mengajak anak buah mereka menentang kerajaan BN haruslah berbuat demikian (melepaskan jawatan) lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya negeri akan datang," Kata Nyalau yang sebelum ini memarahi penduduk di luar bandar di negeri itu yang memandang rendah kepada wakil rakyat BN berhubung isu-isu pembangunan yang dimainkan mereka.

Untuk rekod, budaya ugutan dalam kalangan pemimpin BN di Sarawak ke atas ketua kampung, ketua kaum dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan sesuatu yang lumrah di negeri tersebut.

Ungkapan seperti sokong BN jika mahukan pembangunan, NGO jangan terpedaya dengan pembangkang dan ketua kaum mesti memahami kehendak kerajaan BN, adalah antara ugutan dan propaganda yang sering dimainkan oleh wakil-wakil rakyat BN di negeri itu yang semakin khuatir terhadap pengaruh Pakatan Rakyat menjelang berlangsungnya pilihan raya negeri akan datang.

Sarawak dijangka akan berdepan dengan pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat walaupun tempoh Dun hanya akan berakhir pada Jun 2011.

Namun, berdasarkan perkembangan terkini, BN negeri akan membubarkan Dun lebih awal daripada tempoh tersebut.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tempoh pilihan raya di Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan, atau dalam erti kata lain, Dun di Sarawak mesti dibubarkan sebelum tamatnya tempoh itu.

Rekod sebelum ini menunjukkan, bahawa Ketua Menteri (KM) Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud (gambar) pernah membubarkan Dun Sarawak setahun lebih awal.

Malah, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut mengakui bahawa pihaknya telah menemui Abdul Taib bagi membincangkan perkara itu baru-baru ini sekali gus mengarahkan SPR negeri melakukan persediaan segera bagi menghadapi pilihan raya di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, sehingga 27 Januari lalu, SPR telah dapat mengesan seramai 437,369 orang di Sarawak yang sudah layak mengundi, namun gagal mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih.

Sehubungan itu, SPR akan melancarkan program 'Pendaftaran Perdana Peringkat Negeri Sarawak' di Tebingan Sungai Kuching, pada 9 Mei depan.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca

 

Polls