‘Jenazah demokrasi’, surat Pro M selamat tiba di Canselori UKM

Tuesday, 09 February 2010 6:21 PM Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : 'Jenazah demokrasi' bersama surat permohonan untuk berdialog antara kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Pro M UKM) dengan Naib Canselor (NC) kampus berkenaan telah selamat tiba ke perkarangan pejabat NC di sini, hari ini.

Pengerusi Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya telah mendapat cop pengesahan berhubung ketibaan surat tersebut ke pejabat Naib Canselor petang ini.

"Cop itu sebagai mengesahkan bahawa surat tersebut sudah tiba secara rasminya dan kami akan semak semula keputusan NC untuk berdialog dengan kami nanti berhubung isu-isu yang timbul sepanjang PRK baru-baru ini," kata beliau kepada erapakatan.com petang ini.

Jika sebaliknya berlaku, iaitu NC enggan bertemu kumpulan mahasiswa itu, kata Muhammad Hilman pejabat NC perlulah mengeluarkan surat secara rasmi bagi menjelaskan sebab-sebab kenapa beliau enggan bertemu mereka.

"Kalau dia (NC) tak nak jumpa, dia kena hantar surat rasmi juga untuk mengesahkan yang dia tak nak jumpa kita. Dia tidak boleh buat begitu saja (berdiam diri) seperti sebelum ini," tambah beliau.

Ketika ditanya, apakah pejabat NC memberikan tarikh pertemuan terbaru berhubung dialog yang bakal diadakan itu, beliau berkata hal tersebut belum lagi berbangkit dan diputuskan dalam pertemuan ringkas tadi.

"Bagaimanapun, kami akan semak kembali hal ini dengan pejabat NC pada lusa," kata Muhammad Hilman lagi.

Tempoh perkabungan kematian demokrasi kampus telah berakhir hari ini, menyaksikan kumpulan Pro M berkumpul beramai-ramai di sudut pidato kampus itu pada 2:00 petang tadi, bersempena acara kemuncak perkabungan kematian demokrasi kampus.

Kira-kira 150 orang mahasiswa hadir bagi menunjukkan sokongan dalam usaha menegakkan keadilan sekali gus menolak penipuan dalam pilihan raya kampus UKM.

Perarakan bermula dari sudut pidato sehingga ke Canselori, melalui Pusanika dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Bersama rombongan mahasiswa, diketuai wakil Pro M, Muhammad Hilman Idham dan Hafiz Razak hari ini, ada sepucuk surat rasmi yang mendesak NC agar dapat mengadakan sesi dialog bersama mereka.

Selain itu, mereka turut mengirim patung replika mayat jenazah dan keranda demokrasi kampus, yang disampaikan ke pentadbiran kampus dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar iaitu sebagai 'hadiah' bagi memperingati hal penyelewengan sepanjang PRK tahun ini, sekali gus menjadi lambang kepada kematian demokrasi kampus.

70 pengawal keselamatan diarah untuk mengawal keadaan?

Keadaan makin meruncing apabila perarakan mahasiswa itu sampai ke Canselori tadi, melibatkan 70 pengawal keselamatan yang bertindak menghalang siswa menyerahkan surat permohonan untuk berdialog tersebut.

Presiden Kami, Muhammad Hilman akhirnya melakukan rundingan dengan timbalan ketua pengawal keselamatan agar diberi peluang dan akhirnya pengurusan kampus bersetuju menemui kumpulan mahasiswa berkenaan untuk menerima surat permohonan untuk berdialog bersama pentadbiran universiti itu.

Wakil NC, Zainudin merangkap Penolong Pendaftar UKM kemudiannya dilihat keluar bertemu kumpulan mahasiswa itu untuk menerima surat tersebut.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca

 

Polls