KUALA LUMPUR : Walaupun pembantu khas Perdana Menteri Nasir Safar telah meletakkan jawatan, namun masih wujud desakan pihak yang menyeru agar beliau dikenakan hukuman setimpal di bawah Seksyen 505, 505 Kanun Keseksaan berhubung penghinaan ke atas kaum lain.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor (Selproa) Abdul Razak Ismail berkata, kenyataan Nasir Safar itu jelas suatu penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia, apatah lagi cara ia dilafazkan seolah-olah bertujuan menjatuhkan martabat kaum India dan Cina di Malaysia.
"Kenyataan sedemikian ini boleh menimbulkan rasa marah dan benci antara kaum yang boleh menimbulkan sentimen perkauman. Lantaran itu saya mengesa polis mengambil tindakan sewajarnya terhadapnya di bawah Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan kerana menyemarakkan dan menyebabkan rasa benci membenci antara satu kaum dengan satu kaum yang lain.
"Saya berpendapat beliau telah dengan sengaja cuba merosakkan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum," kata beliau ketika menyerahkan laporan polis di Balai Polis Klang baru-baru ini. Turut hadir, ialah YB Manikavasagam (Ahli Parlimen Kapar), YB Gwo Burne Loh (Ahli Parlimen Kelana Jaya) bersama dua lagi wakil NGO.
Pada 3 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan Nasir Safar itu.
Mohd Najib berkata, Nasir meletakkan jawatan atas rasa bertanggungjawabnya berikutan kenyataan berbau perkauman dalam Seminar Rapat 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Selasa lalu.
Sementara itu di Johor, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri telah mengambil langkah sewajarnya terhadap Nasir.
Katanya, Mohd Najib sudah pasti tidak gembira dengan insiden itu dan tindakan Nasir meletakkan jawatan menunjukkan betapa serius insiden tersebut.
"Apa yang saya tahu, Perdana Menteri telah mengambil langkah segera menangani insiden itu. Sudah tentu sebagai manusia kita tidak terlepas membuat kesilapan," kata Muhyiddin.
Pada 2 Februari lalu, Nasir Safar, dalam majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di MITC Melaka, telah mengeluarkan kata-kata menghina masyarakat India dan Cina. Antara yang disebut beliau:-
"...Jangan desak kerajaan anytime kita boleh melucutkan kewarganegaraan orang India di Malaysia. Indians came to Malaysia as beggers and Chinese especially ladies untuk jual badan."
Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).
Kongsi berita ini