BN dan PR sepakat tolak PCM

Tuesday, 09 February 2010 10:00 AM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Gabungan dua parti gergasi politik negara, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional menolak kerjasama politik dengan parti nyamuk, Parti Cinta Malaysia (PCM) selain menganggap parti itu sekadar pengacau dalam pilihanraya akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri (MPN) Sarawak, Baru Bian berkata, hasrat Pengerusi PCM Sarawak yang juga pakar lompat parti, Gabriel Adit yang mahu bertanding 30 daripada 71 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanaraya negeri akan datang hanyalah suatu gimik politik.

Menurutnya, Gabriel hanyalah ahli politik tetapi belum tentu memenangi sebarang kerusi kerana beliau tiada sokongan akar umbi.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa perbincangan kerusi antara PKR hanyalah bersama komponen PR iaitu DAP, PAS dan SNAP dan kami tiada kerjasama langsung dengan PCM,” katanya kepada erapakatan.com

Sehubungan itu, beliau yakin PCM bukan sahaja akan gagal di Sarawak tetapi tidak menolak kemungkinan parti itu akan berkubur sama seperti parti-parti lain yang pernah wujud si Sarawak suatu ketika dahulu.

Mengulas isu sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bagi kawaasan Engkilili, Johnnical Rayong anak Ngipa berkata, PCM yang ditubuhkan di Semenanjung Malaysia beberapa bulan lalu dijangka tidak akan mendapat sambutan dikalangan penduduk Sarawak.

“Ini kerana beliau (Adit) telah hilang kredibilitinya sebagai seorang pemimpin dikalangan penduduk dalam kawasan Ngemah berhubung ‘hobi’ beliau yang gemar melompat parti sebelum ini,

“Lagipun saya juga menjangka bahawa Pengerusi PCM Sarawak iaitu Gabriel Adit anak Demong tidak akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada pilihanraya negeri ini kelak. ”katanya.

Sementara itu, Timbalan  MPN PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Senusi memberitahu, kehadiran PCM dalam pilihanraya Sarawak hanyalah sebagai pengacau kepada kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PR.

Menurutnya, beliau sangsi dengan hasrat PCM yang bersungguh-sungguh mahu meletakkan calonnya di kawasan majoriti luar Bandar.

“Kita hasrus ingat, antara kerusi panas dan genting bagi BN di negeri ini ialah di kawasan majoriti luar Bandar dan PKR bersama komponen PR yang lain telah lama menjalankan kempen untuk memenangi kawasan itu.

Maka, apa tujuan PCM bertanding kalau bukan untuk memecahkan undi PR seterusnya memudahkan BN menang,” katanya kesal.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak khasnya penyokong PR tidak terpengaruh dengan agenda mengelirukan yang di bawa oleh PCM ke negeri itu.

Terdahulu, Gabriel sebaik meninggalkan PKR dikaitkan dengan penubuhan Parti Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) yang didakwa akan ditubuhkan di negeri itu untuk bertanding di semua kawasan dalam pilihnraya akan datang.

Penubuhan PRM juga didakwa ditaja oleh Tiong King Sing yang juga Pengerusi Kelab Penyokong BN dan terlibat dalam skandal PKFZ.

Sebuah portal berita juga memetik Gabriel ada menemui Najib Razak beberapa bulan lalu selepas menyertai PCM.

Tempoh Dun Sarawak akan berakhir Jun 2011 dan Najib dijangka akan mengadakan pilihanraya umum secara serentak sebelum tempoh itu.

Kongsi berita ini

del.icio.us Favicon Digg Favicon Facebook Favicon Google Favicon LinkedIn Favicon StumbleUpon Favicon TwitThis Favicon

Komen Pembaca